l Quran (24) An Nuur : Ayat 11 Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah da

Monday, June 14, 2010

l Quran (24) An Nuur : Ayat 11

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar (QS. 24:11)

Saya Mesti Memahami Syarat-syarat Baiah dan Keanggotaan

Sebenarnya setiap orang Muslim mampu membantu Harakah Islamiyah dalam menunaikan tanggungjawab beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam. Ini dapat dilakukan dengan cara mereka menyertai barisan harakah setelah mereka memiliki sifat-sifat yang telah disebutkan iaitu mereka merasai dan menyedari kepahitan yang sedang dideritai oleh umat Islam hari ini dan mereka mengetahui sebab-sebab yang membawa kepada penderitaan tersebut. Kemudian mereka juga yakin kepada kemampuan dan keampuhan Islam untuk bangun semula dan menyelamatkan umat ini, mampu mengangkat mereka kepada martabat yang tinggi dari sudut keinsanan, akhlak dan peradaban, di samping melaksanakan tuntutan iman yang mengarahkan manusia supaya tunduk patuh secara menyeluruh kepada hukum-hakam Islam dan dasar-dasarnya dalam seluruh urusan hidup.

Kualiti dan Kuantiti.

Adalah menjadi kebiasaan Harakah Islamiyah mempelbagaikan cara dalam usaha meningkatkan mutu saff jama'ah dan memperbanyakkan ahli-ahlinya dengan cara-cara yang dibenarkan oleh Islam. Namun demikian kerja-kerja menghimpun atau memperbanyakkan ahli-ahli ini janganlah sampai ia menghimpun apa saja jenis manusia yang ditemui, kerana kualiti (mutu) itu lebih penting dari bilangan. Jama'ah selalunya berusaha berdakwah dengan bersungguh-sungguh mengorbankan tenaga dan waktu untuk mendapat seorang anggota baru dengan harapan anggota baru ini dapat memikul sebahagian dari tanggungjawab dan tugas jama'ah. Tetapi sekiranya diambil anggota secara sembarangan tentulah harakah tidak mampu menanggung beban dari anggota-anggota sedemikian sepanjang umur mereka. Jika ini terjadi rugilah tenaga yang dicurahkan dan sia-sialah usaha.

Seorang manusia adakalanya menjadi satu umat tetapi ada kalanya ia menjadi bebanan yang merosakkan orang lain malah tidak berguna sama-sekali. Orang seperti ini adalah lebih baik tidak diambil kira. Dalam hal seperti ini banyak pengajaran yang dapat dijadikan I'tibar. Allah menceritakan:
وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

Maksudnya:

"Dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri." (Surah Al-Taubah 9: Ayat 25)

Sebenarnya bilangan yang banyak bukanlah menjadi perhitungan yang utama, tetapi yang utama ialah anggota yang benar-benar mengenal Allah, teguh pendirian dan benar-benar memperjuangkan kebenaran. Bilangan yang banyak ada kalanya menjadi sebab membawa kepada kekalahan kerana sebahagian yang ikut serta itu terdiri dari mereka yang tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam. Apabila menghadapi saat-saat genting dan getir, pendirian mereka ini akan mudah goncang dan goyah. Dengan sifat demikian mereka ini menyebabkan kelemahan jiwa para anggota dan ketewasan di dalam medan jihad.

Oleh yang demikian membuat penilaian dan pembahagian terhadap anggota-anggota merupakan satu amalan yang membawa kebaikan kerana dengan cara itu jama'ah dapat menilai dan mengetahui sejauh mana kemampuan dan kemanusiaan para anggota sebelum sesuatu tugas itu dimulakan. Pembahagian yang dilakukan tidaklah bermakna harakah membiarkan sebahagian anggota yang lain, malah terhadap mereka juga harakah mestilah mengambil perhatian berat dengan cara memberi kesedaran dan tarbiah sehingga mereka juga akan menjadi individu-individu yang setia kepada jama'ah.

Baiah dan Hukumnya Di Sisi Syarak.

Baiah ialah perjanjian untuk memberi ketaatan. Orang yang berbaiah ialah seolah-olah ia membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ia tidak akan melanggar kepada janji-setianya terhadap amir dalam urusan tersebut malah ia mestilah mentaati apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sama ada ia suka ataupun ia benci.

Baiah ialah suatu perbuatan sunnah Nabi yang pernah diberikan oleh kaum Muslimin beberapa kali kepada Rasulullah s.a.w semasa baginda masih hidup seperti Baiatul Aqabah pertama, Baiatul Aqabah kedua, Baiatul Ridhwan. Selepas kewafatan baginda para sahabat terus berbaiah kepada Ulil-Amri mereka.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Junadah bin Abu Umayyah dari 'Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: "Rasulullah s.a.w telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada baginda... kemudian 'Ubadah berkata: "Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah s.a.w) dalam perkara yang kami sukai dan kami benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas." (Dari Sahih Al-Bukhari-Bab Al-Fitan)

Dalam bukunya "Fi Al-Din Al-Khalis" Sadiq hasan Khan berkata: "Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa tuntutan berbaiah ke atas para sahabat adalah satu sunnah, demikian juga baiah yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah s.a.w adalah sunnah. Menunaikan adalah wajib manakala mencabulinya adalah maksiat."

Di dalam tafsirannya terhadap hadis ini Ibnu Hajar menyatakan: "Dalam keadaan yang kita sukai atau dalam keadaan yang kita benci, iaitu dalam keadaan kita merasa cergas (serta bersemangat) dan dalam keadaan kita merasa lemah untuk melakukan apa yang diperintahkan". Al-Daudi pula berkata: "Maksudnya ialah sesuatu yang kamu membencinya." Manakala Ibn Al-Tin pula berkata: "Yang jelas apa yang dimaksudkan ialah pada waktu malas dan kesusahan." (Fathul-Bari Jil 13, ms 6)

Abnul Juzi Al-Maliki pula berkata: "Kita tidak harus menentang kerajaan (yakni kerajaan Islam) sekalipun (pimpinannya) melakukan kezaliman sehinggalah ternyata pada mereka kekufuran yang jelas, ketaatan mestilah diberikan kepada mereka sama ada dalam perkara yang disukai mahupun dibenci kecuali mereka memerintahkan supaya mengerjakan maksiat, maka dalam keadaan demikian tidak ada ketaatan kepada makhluk yang bermaksiat kepada Allah." (Qawaniyyah Fikhiyyah 14)

Seorang saudara petugas yang jujur wajiblah berpegang dengan kewajipan yang diamanahkan ke atas dirinya dalam mua'malah dengan mas'ul dan pimpinan dakwah. Saudara petugas mestilah mengelakkan diri mencari-cari kecacatan dan keaiban saudaranya, kerana sikap berbaik sangka terhadap seorang saudara yang lain adalah dasar asal yang mesti diikuti, bukannya mengikuti cara-cara kepartian yang jauh dari sifat takwa dan semangat keagamaan dan ingatlah setiap bidaah itu adalah sesat.

Taat dan Hukum Syarak.

Taat ertinya menurut perintah. Apabila taat tidak berlaku maka maksiat dan fitnah akan menggantikan tempatnya. Bagi sesorang Mukmin bibit-bibit fitnah itu pada mula mungkin tidak begitu jelas sehingga ia tidak merasai kewujudan fitnah itu kecuali setelah ia benar-benar terjadi. Oleh yang demikian ia wajib berhati-hati dalam segala tutur katanya, perbuatannya dan tindak-tanduknya supaya semua perbuatan-perbuatan tersebut tidak mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman.

Memberi ketaatan (kepada yang berhak) adalah wajib selama ia tidak termasuk dalam perkara maksiat atau perkara yang boleh membawa maksiat sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah Al-Nisa' 4: ayat 59)

Diriwayatkan dari Abu Hurar.a bahawRasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:"Barangsiapa yang mentaatiku bererti ia telah mentaati Allah s.w.t. Barangsiapa yang menderhakaiku bererti ia telah menderhakai Allah s.w.t. Barangsiapa yang mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan barangsiapa yang menderhakai amir-amirku bererti ia derhaka terhadapku". (Hadis)

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas bin Malik yang berkata Rasulullah s.a.w telah bersabda:"Dengarlah dan taatlah sekalipun yang dilantik untuk menjadi ketuamu itu seorang hamba Habsyi (yang hitam)."

Satu riwayat yang lain dari Ibnu 'Abbas menyebut bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada amirnya, maka hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya tidak seorang pun yang memisahkan diri dari jama'ah walaupun sekadar sejengkal kecuali ia mati dalam keadaan jahiliyah."

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesiapa yang memisahkan dirinya dari ikatan jama'ah sekadar sejengkal sesungguhnya ia telah menanggalkan ikatan Islam dari tengkuknya."

Imam Bukhari juga meriwayatkan hadis dari Abdullah bin Umar yang menyebabkan Rasulullah s.a.w bersabda:"Dengar dan taat adalah wajib atas setiap orang muslim dalam perkara yang ia suka atau benci selama ia tidak disuruh berbuat maksiat. Apabila ia disuruh berbuat maksiat maka tidak wajib lagi ia mendengar dan mentaati. " Imam Bukhari juga meriwayatkan sebuah hadis yang berlangsung disandarkan kepada Sayidina Umar bahawa beliau:"Sesungguhnya manusia di zaman Rasulullah s.a.w dihukum dengan wahyu tetapi sekarang wahyu telah terputus. Oleh yang demikian kami akan menghukum kamu berdasarkan apa yang zahir (jelas) dari amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang menunjukkan kebaikan kepada kami, kami akan melindunginya dan mendekatinya. Kami tidak berhak mencari rahsia hatinya sedikitpun. Allahlah yang akan menghisab perkara yang berkaitan dengan hatinya. Sesiapa yang melakukan kejahatan kepada kami, kami tidak akan melindunginya dan tidak akan membenarkannya sekalipun ia menyatakan niatnya baik". (Riwayat Bukhari).

Rukun-rukun Baiah:

Bergabung dengan Harakah Islamiah pada hakikatnya bermaksud bergabung secara langsung atau amalan di dalam Islam. Ia merupakan permulaan perjanjian baru dengan Allah dan memberikan baiah untuk beramal dan berjihad pada jalan-Nya.

Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah merumuskan tentang rukun-rukun baiah dengan berkata:"Rukun baiah kita semuanya sepuluh, peliharalah ia dengan sebaik-baiknya".

1. Faham.

2. Ikhlas.

3. Amal.

4. Jihad.

5. Berkorban.

6. Taat.

7. Tetap Pendirian.

8. Tegas.

9. Persaudaraan.

10. Percaya.

Kemudian Imam Hassan Al-Banna mentafsirkan rukun-rukun di atas satu persatu. Beliau menyatakan:

1. Faham:

Hendaklah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah fikrah Islamiah yang sejati dan hendaklah saudara memahami Islam sebagaimana kami (para pemimpin) memahaminya berdasarkan usul dua puluh (prinsip) yang ditetapkan. Kami ringkaskan prinsip-prinsip tersebut adalah sebagaimana berikut:

1.1- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam adalah satu sistem yang lengkap (syamil) mencakupi seluruh bidang kehidupan.

1.2- Hendaklah saudara memahami bahawa Al-Quran dan Sunnah adalah sumber rujukan bagi setiap orang muslim dalam memahami segala hukum-hakam Islam.

1.3- Hendaklah saudara memahami bahawa iman yang benar, ibadat yang sah dan mujahadah merupakan cahaya kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya kasyaf, mimpi, ilham dan lintasan-lintasan hati tidaklah menjadi dalil hukum Islam (syarak) dan tidak boleh dibuat pegangan kecuali jika ianya bercanggah dengan hukum-hakam Islam dan nas-nas agama.

1.4- Hendaklah saudara memahami bahawa semua jenis tangkal, jampi, mantera, tilikan dan ramalan, mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, nujum atau apa sahaja yang seumpamanya adalah satu kemungkaran yang wajib diperangi kecuali jika jampi-jampi tersebut terdiri dari ayat-ayat Al-Quran dan doa yang ma'thur yang pernah dibuat oleh Rasulullah s.a.w.

1.5- Hendaklah saudara memahami bahawasanya pendapat Imam dan naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas yang jelas dan dalam masalah yang boleh ditafsirkan dengan lebih dari satu pentafsiran dan dalam perkara yang melibatkan maslahah mursalah, boleh diamalkan (dipegang) selama ia tidak berlawanan dengan kaedah-kaedah syarak.

1.6- Hendaklah saudara memahami bahawa sesungguhnya perkataan dari seseorang itu boleh diambil dan boleh ditolak kecuali perkataan Rasulullah s.a.w yang maksum.

1.7- Hendaklah saudara memahami bahawa bagi seseorang Islam yang taraf keilmuannya belum sampai ke peringkat mampu meneliti dalil-dalil hukum-hakam Syariat Islam maka hendaklah dia mengikuti salah seorang dari Imam-imam (mujtahid) dalam Islam.

1.8- Hendaklah saudara memahami bahawa perbezaan-perbezaan (pentafsiran dan pegangan) dalam hukum-hakam fekah dalam soal-soal cabang (furu') tidak harus dijadikan sebab perpecahan dalam agama.

1.9- Hendaklah saudara memahami bahawa perbincangan tentang masalah yang tidak mendatangkan hasil adalah termasuk di dalam erti takalluf (usaha yang memberatkan) yang ditegah oleh agama.

1.10- Hendaklah saudara memahami bahawa mengenali Allah Tabaraka Wa Taala, mentauhidkannya dan menyucikannya (dari segala sifat kekurangan) adalah setinggi-tinggi akidah Islam. Kita beriman dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Sahih tentang sifat-sifat Allah sebagaimana zahir ayat-ayat tanpa takwil dan juga tanpa membekukan nas-nas tersebut.

1.11- Hendaklah saudara memahami bahawa setiap amalan bidaah di dalam agama Allah (Islam), yang tidak ada asal-usulnya mestilah dihapuskan dengan cara yang paling bijak.

1.12- Hendaklah saudara memahami bahawa bidaah Idhafiyyah (yang ditokok-tambah), bidaah tarkiyyah (bidaah yang meninggalkan amalan yang sunnah) serta beribadat dengan cara tertentu di dalam ibadat-ibadat mutlak (khusus) adalah masalah khilafiah dalam fikah di mana setiap golongan mempunyai pendapatnya sendiri. Tidak mengapa jika dibincangkan dengan tujuan memberi kebenaran yang disertakan dengan dalil dan keterangan (bukti).

1.13- Hendaklah saudara memahami bahawa mengasihi orang-orang yang salih, menghormati mereka dan menyebut kebaikan-kebaikan mereka yang kita ketahui adalah satu sikap yang akan membawa kita bertambah dekat dengan Allah s.w.t.

1.14- Hendaklah saudara memahami bahawa menziarahi kubur walau bagaimana sekalipun keadaannya adalah suatu perkara sunnah yang disyariatkan mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

1.15- Hendaklah saudara memahami bahawa berdoa kepada Allah yang diiringi dengan bertawassul kepada makhluknya yang tertentu (orang-orang salih) adalah perkara khilafiah furu'ie tentang cara-cara berdoa. Ia bukanlah satu persoalan akidah.

1.16- Hendaklah saudara memahami bahawa adat-adat kebiasaan manusia yang salah tidak dapat mengubah pengertian hakiki dari lafaz syarak.

1.17- Hendaklah saudara memahami bahawa akidah (yang bersih) adalah asas segala amalan dan amalan hati adalah lebih penting dari tubuh-badan. Mencari kesempurnaan dalam kedua-dua bidang amal ini adalah dituntut oleh syarak sekalipun tuntutan itu berbeza-beza mengikut keadaan.

1.18- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam memberi kebebasan kepada akal dan mendorongnya supaya memerhati dan mengamati rahsia-rahsia alam, malah Islam mengangkat darjat dan martabat ilmu dan para ulama (ilmuan) serta mengalu-alukan segala hasil kajian ilmiah yang memberi manfaat.

1.19- Hendaklah saudara memahami bahawa pandangan syarak dan pandangan akal ada kalanya kelihatan tidak seiring tetapi syarak dan akal tidak bercanggah dalam perkara yang qat'ie (telah jelas dengan dalil). Oleh itu hakikat ilmiah yang sah sekali-kali tidak akan bercanggah dengan kaedah syariat yang tetap. Apabila terdapat sesuatu penentangan maka perkara-perkara yang bersifat zanni (atau perkara-perkara yang pendapat akal biasa semata-mata) itu, hendaklah diulas dan ditakwilkan supaya sesuai dengan hakikat qai'ie, tetapi seandainya terdapat pertentangan di antara kedua-dua perkara yang bersifat zanni berlaku maka hendaklah diutamakan pandangan syarak dakal biasa dan pandangan syaraklah yang lebih patut disehinggalah peperkara zanni akal tadi benar-benar dapat dibuktikan kebenarannya. Jika tidak demikian maka gugurlah pandangan akal itu dengan sendirinya.

1.20- Janganlah saudara mengkafirkan seorang muslim yang berikrar dengan dua kalimah syahadat dan beramal dengan tuntutan-tuntutannya serta menunaikan perkara-perkara yang diwajibkan sama ada kerana ia berpegang kepada pendapat tertentu atau melakukan maksiat - kecuali ia sendiri berikrar dengan mengakui kekufuran atau melakukan sesuatu perbuatan yang tidak boleh ditakwilkan lagi kecuali dengan makna kufur.

2. Ikhlas.

Hendaklah seorang saudara muslim itu berniat bahawa segala perkataannya, pekerjaannya dan perjuangan jihadnya adalah kerana Allah dan untuk mendapat keredaan-Nya dengan tidak mengharapkan keuntungan, pangkat kedudukan, kemegahan dan gelaran. Dengan niat yang ikhlas itu saudara akan menjadi seorang tentera (yang setia) kepada fikrah dan akidah bukan tentera yang tamakkan keuntungan dan kepentingan diri.

3. Amal.

Apa yang dimaksudkan dengan amal di sini ialah melakukan Islah (pembaikan) terhadap diri sendiri, membina rumah tangga muslim, membimbing masyarakat, membebaskan tanah air, membetulkan kerajaan sehingga benar-benar bersifat Islam, mengembelingkan kewujudan umat Islam di peringkat antarabangsa, menjadi petunjuk ajaran ke seluruh pelusuk dunia sehingga tidak ada lagi fitnah serta halangan dan agama ini seluruhnya berjalan kerana Allah semata-mata.

4. Jihad.

Jihad yang dimaksudkan di sini ialah kewajipan yang berterusan sejak dahulu hingga ke hari kiamat iaitu kewajipan yang dimaksudkan dalam sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang dan pernah berniat untuk berperang bererti beliau mati dalam keadaan jahiliah".

5. Berkorban.

Berkorban bermakna mengorbankan jiwa-raga, harta-benda, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk tujuan mencapai matlamat.

6. Taat.

Taat bermaksud mematuhi perintah dan melaksanakannya di masa senang mahupun susah sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang dibenci.

7. Tetap Pendirian.

Tetap pendirian yang dimaksudkan ialah setiap orang dari kalangan saudara terus-menerus beramal dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat sekalipun memakan masa yang bertahun-tahun lamanya sehinggalah dia bertemu Allah dalam keadaan beramal dan berjihad. Dengan itu bermakna dia berjaya memperoleh salah satu dari dua kebaikan iaitu mencapai matlamat atau mati syahid.

8. Tegas.

Tegas atau tajarrud yang dimaksudkan ialah saudara membersihkan fahaman atau fikrah yang saudara bawa dari sebarang pengaruh prinsip-prinsip dan individu yang lain dari fikrah saudara kerana fikrah yang saudara dokong ini adalah fikrah yang tinggi lagi lengkap kerana Allah berfirman:

"Celupan Allahlah (yang lebih baik), siapakah yang lebih baik dari celupan Allah".

(Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).

9. Persaudaraan.

Persaudaraan yang dimaksudkan di sini ialah saudara mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh saudara-saudara sekalian dengan ikatan akidah, kerana ikatan akidah itu merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga.

Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah (Persaudaraan):

Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani - ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah - yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

Yang bermaksud:

"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.

Hakakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.

Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.

1. Ukhuwwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".

Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:

"Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan".

2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

"Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".

4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya". (Hadis riwayat Muslim).

5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

Yang bermaksud:

"Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". (Hadis riwayat Musl